(Agenda Daily) - Bursa pemilihan Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang kini terbuka sering diwarnai dengan cakap-cakap mereka yang disebut-sebut akan bertanding Khairy Jamaluddin, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr. Khir Toyo sebenarnya tidak sesuai untuk memegang jawatan berkenaan.
Alasannya, Khairy dikaitkan dengan persepsi bahawa beliau adalah antara punca kekalahan teruk Barisan Nasional pada pilihan raya umum yang lalu. Mukhriz pula tidak lebih daripada hanya akan menjadi lidah penyambung bapanya Tun Dr. mahathir Mohamad. Manakala Dr. Khir pula selain tidak fokus juga dilihat pemimpin yang gagal mempertahankan negerinya daripada ditawan pembangkang.
Walaupun ini adalah cakap-cakap politik yang sering diutarakan tetapi salah seorang yang berada di dalam barisan kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Datuk Khairuddin Yaakob tampil mengesahkan itulah realiti dan tuntutan politik yang berlaku kini.
Malah beliau bukan hanya bercakap tetapi telah menemui Khairy dan menyampaikan pandangan akar umbi bahawa Naib Ketua Pemuda UMNO itu tidak sesuai untuk menawarkan dirinya menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia berdasarkan senario politik semasa.
“Saya telah berjumpa dengan Khairy. Saya sampaikan pandangan bahawa berdasarkan keadaan politik semasa serta beliau (Khairy) dikaitkan sebagai faktor kekalahan BN pada pilihan raya umum yang lalu, jalan terbaik baginya ialah terus mempertahankan jawatan Naib Ketua Pemuda.
“Lagipun beliau masih muda dan masa menyebelahi beliau. Beliau boleh terus menjadi Naib Ketua Pemuda.
“Saya juga jelaskan pemilihan hanya melibatkan keluarga besar UMNO sahaja tetapi yang lebih penting ialah penerimaan masyarakat luar terhadap kepimpinan kita, Jika kita dilihat sebagai punca kepada masalah yang berlaku dalam parti, adalah lebih baik kita meletakkan parti dan kepimpinan parti mengatasi kepentingan politik peribadi. Alhamdulillah, Khairy menerima baik pandangan saya itu,” katanya kepada Agendadaily semasa ditemui di bangunan Parlimen hari Khamis.
Kenyataan Khairuddin yang merupakan salah seorang 'orang kuat' Khairy itu membawa kepada persoalan jika ketiga-tiga nama yang disebut-sebut itu dirasakan tidak sesuai siapa pula pada pandangan beliau boleh memimpin Pemuda UMNO.
Jawapnya, semua 14 Pemuda UMNO Bahagian di Pahang akan mencalonkan Menteri Besarnya, Datuk Seri Adnan Yaakob bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia kerana beliau adalah pilihan terbaik untuk menerajui Pemuda dalam keadaan politik semasa.
“Tidak salah jika orang luar memimpin Pemuda buat masa ini. Beliau hanya akan menjadi Ketua Pemuda yang mempunyai satu matlamat iaitu mengembalikan idealisme perjuangan dalam pergerakan itu dan ia hanya bersifat stop gap .
“Saya juga berpendapat, Datuk Seri Adnan dapat menawarkan kepimpinan kepada Pemuda, memberikan tunjuk ajar sebagai seorang pemimpin yang matang dan berpengalaman,” jelasnya.
Beliau turut mengambil contoh Pemuda UMNO pernah diterajui oleh pemimpin veteran parti iaitu Tan Sri Jaafar Albar satu ketika dulu kerana situasi politik ketika itu menuntut orang luar memulihkan semula idealisme Pemuda UMNO.
Ditanya mengenai pandangan umum terhadap kepimpinan Pemuda UMNO sekarang beliau mengakui, memang ada kebenaran sentimen kurang senang yang dilahirkan oleh masyarakat selama ini khususnya yang berkaitan dengan sikap dan cara hidup bermewah-mewah kalangan sesetengah pemimpin Pemuda.
Sehubungan itu katanya, cabaran kepada Pemuda UMNO sekarang dan masa hadapan ialah untuk mempertahankan idealisme perjuangan dan kembali kepada asas serta matlamat penubuhannya.
Selain itu beliau turut menggariskan, Pemuda selepas ini jangan hanya berfikir tentang program dan pendekatan dalaman parti sahaja tetapi perlu meluaskan gerak kerjanya melibatkan masyarakat umum pelbagai kaum.
"Saya akui kebanyakan program kita hanya melibatkan sesama sendiri kalangan ahli-ahli Pemuda saja tetapi tidak orangramai.
"Kita juga jarang sekali mengadakan program bersama dengan pergerakan Pemuda parti komponen kecuali masa dekat pilihanraya saja,"katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Lenggong yang juga Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Datuk Shamsul Nasrah ketika ditanya mengenai cadangan Khairuddin itu berkata, apa yang penting ialah mereka yang hendak dipilih menerajui Pemuda UMNO mestilah pemimpin yang mampu membawa Pemuda berada di tengah-tengah generasi muda, memahami kehendak orang muda serta memahami jiwa mereka.
“Pemimpin itu mestilah menjadi pejuang kepentingan generasi muda dan dilihat penting kepada kepentingan dan kehendak orang muda,” ujar beliau yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia.
No comments:
Post a Comment